Rabu, September 9

TERKENANG SEMASA DULU


Sewaktu saya masih berada di bangku persekolahan saya tidak pernah terfikir untuk bekerja keras mencari rezeki. Disebabkan saya tidak pernah terfikir, saya tidak mengerti pengorbanan dan jerit-perih yang ditanggung oleh kedua ibubapa saya. Yang penting bagi saya ketika itu, makan, minum, tempat tinggal, duit bulanan, dan pakaian serba-serbinya cukup. Tanpa sedikit pun saya berfikir, adakah ibubapa saya juga merasa cukup seperti apa yang mereka beri kepada saya. Kadang-kadang saya pula cerewet dan komen itu silap dan ini salah. Silap haribulan saya merajuk sehingga tidak bertegur dengan ibubapa. Ya, ketika itu saya berasa semuanya betul, dan apa yang ditegur oleh ibubapa semuanya seperti mengongkong kehidupan saya.

Nah kini, saya seorang guru. Saya baru terfikir dan berasa jerit-perihnya mencari rezeki. Walaupun tidak sehebat dan segigih kedua ibubapa saya, tetapi sudah cukup memberitahu kepada saya betapa besar pengorbanan mereka kepada anak-anak mereka. Bangun seawal pagi, kemudian menyediakan keperluan anak-anak, bersiap untuk ke tempat kerja, terbeban dengan pelbagai kerja, dan balik pula bingit telinga mendengar anak-anak bertengkar. Tetapi senyum tetap terukir, dan suara halusnya memujuk kami memukau kami untuk berhenti bertengkar. Tapi hati mereka siapa yang peduli?

Kini saya mula melangkah ke alam fasa mengerti dan mengenali sisi kehidupan kedua ibubapa saya. Saya mengkagumi pengorbanan mereka, dan saya mengerti perasaan mereka. Kehidupan itu sering berlaku proses, proses yang membangunkan watak dan perwatakan manusia. Begitu juga dengan diri saya. Proses ini mematangkan diri saya untuk merenung dan menilai sisa-sisa umur yang masih Allah berikan kepada saya. Semakin saya kenal dan dekat dengan pengertian hidup ini, jari-jemari saya semakin kuat dan lincah merakamkannya melalui penulisan. Saya mahu berkongsi pahit manisnya hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Saya mahu berkongsi nikmat iman dan Islam dengan seluruh manusia yang saya kenal. Dan saya juga ingin berkongsi nikmat kasih, pengorbanan dan sayangnya kedua orang ibubapa saya dengan seluruh makhluk yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan