Selasa, September 22

Rendah Gunung, Tinggi Harapan..




Hari ini saya ingin kongsikan satu cerita tentang seorang ibu tunggal. Suaminya telah hampir setahun menceraikannya atas alasan tidak serasi. Anak-anak sejumlah 5 orang memutuskan untuk hidup bersama emak mereka. Bagi mereka, bapanya sudah tiada lagi. Emaklah tempat mereka berteduh, menakung limpahan kasih sayang berkongsi bersama adik-beradik. Yang paling tua ialah lelaki berumur 14 tahun. Angahnya perempuan darjah 6 disusuli adik lelakinya berumur 7 tahun. Selebihnya belum bersekolah, yang lelaki berusia 5 tahun ditemani adik perempuan bongsunya berumur 3 tahun.
Ibu mereka hanyalah seorang cleaner. Pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara keluarga sehingga menyebabkan anak sulungnya memutuskan untuk berhenti belajar bagi menambah pendapatan keluarga. Masa berlalu, keputusan anaknya membantu mengurangkan beban kurang berhasil. Kehidupan mereka sulit sekali. Serba tidak cukup. Seringkali kedengaran raungan nangisan anak yang terkecil kerana bekalan susu kehabisan. Bantuan-bantuan dari jiran-jirannya yang memang prihatin dengan nasib sekeluarga itu diterima dengan berat hati kerana malu. Lebih-lebih lagi jika yang menerima itu anaknya sendiri. Dia seperti tidak sanggup untuk hidup lagi. Dia sudah mula penat. Lelah dengan nasib yang menimpa. Dia tidak mahu anak-anaknya dibesarkan sedimikian rupa. Membesar dengan menagih simpati. Bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh jiran-jiran menjadi igauan hariannya. Igauan yang mula mengocak-ngocak norma keharmonian akal fikiran kemanusiaannya. Kacau bilau dan besimpang-siur laluan isyarat elektrik dan kimia dalam organ terhebat manusia kurniaan tuhan kesan daripada gempa bumi di mindanya. Gugatan itu mendorong nalurinya ke arah satu titik. Titik noktah hayat insan. MATI. Dia tekad dan nekad untuk mati. “Bila aku mati nanti, anak-anak aku pasti akan dimasukkan ke rumah anak-anak yatim, lebih bagus mereka dibesarkan di sana berbanding dengan aku. Selalu menagih dan menerima simpati” Begitulah fikir minda berkeceramuknya. Dia sayangkan anak-anak. Tetapi pada saat gawat itu dia merasakan itulah pilihan paling tepat. Botol klorox yang berisi sodium hipoklorit terpilih bagi menunaikan hajat ketemu mati. Sebotol penuh diteguknya. Dia lantas terbaring dengan keadaan mulutnya mula mengeluarkan buih-buih abnormal. Anak sulungnya menyedari hal itu, segera menghampiri kujur tubuh ibunya. Berteriakan memangku dan menatap wajah ibunya “Mak, mak jangan mati lagi. Jangan tinggalkan kami. Kami mahu mak, kami perlukan mak, kami nak kasih sayang mak. Kami tak kisah hidup susah, tapi kami tak sanggup kehilangan mak” Jeritan itu diikuti dengan gegasan anak tertua itu meminta bantuan jiran. Dia dibawa ke hospital. Alhamdulillah, setelah beberapa hari dia dirawat akhirnya tubuh badan yang menyerap klorox 500ml itu berjaya disembuhkan. Mungkin pulihan itu atas dorongan kuasa kata-kata anak yang sempat masuk ke gegendang telinganya.

Kisah di atas adalah contoh senario yang mungkin berlaku dalam norma kehidupan hari ini. Apa yang saya cuba singgung kali ini berkisar dengan harapan dan putus harapan Dari cerita tersebut, jelas bahawa manusia yang putus harapan boleh mendorongnya bertindak luar dari batasan kewarasan kemanusiaan. Justeru, adalah penting untuk kita memahami tentang harapan agar terus bersambung. Tidak putus.

Kronologi
Semua manusia mempunyai harapan. Manusia yang hidup tetapi tidak mempunyai harapan itu boleh diibaratkan seperti sudah mati. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Einstein dalam kata-katanya "Ramai manusia yang mati sejak berumur 25 tahun tetapi dikebumikan ketika umurnya 75tahun". Anak kecil biasanya mengharapkan gula-gula ataupun aiskrim. Bila sudah sekolah mahukan basikal. Harapannya lulus UPSR. Meningkat remaja, mula pandai bercinta-cinta, lantas harapannya ingin punya kekasih hati. Bila meningkat dewasa, impiannya untuk berumahtangga. Bila dah tua harapannya nak beramal ibadat menyiapkan diri agar bersedia untuk mati. Itu contoh-contoh kebiasaan harapan, Memang ada macam-macam harapan jika nak ditulis di sini. Yang paling banyak mungkin harapan yang tinggal harapan. Ada harapan yang jadi realiti, tak kurang harapan yang kekal fantasi.

Muhasabah
“Apa harapan terbesar kamu?” Apabila soalan begini dikemukakan, bebola mata bergegas mencari langit untuk ditatap. Merenung jauh ke atas, walaupun jawapannya tidak ada di situ. Merenung dalam-dalam sebelum memberi jawapan takut-takut ditolak markah kerana salah. Lantas ramai manusia akan memberi jawapan-jawapan piawai orang-orang awam zaman sekarang “ Saya nak anak 8 orang, mahu hidup di rumah banglo atas bukit tempatan, risaukan bukit antarabangsa roboh lagi, emm kereta nak pakai bmw 7 series, kalau tak dapat, brabus pun jadi lah, sebelum mati saya mahu lihat anak-anak saya semua berjaya di dunia dan akhirat” Harapan ini sememangnya bagus dan tidak ada salah atau cacat celanya pun. Harapan setinggi ini. Jika jadi kenyataan memang membanggakan terutamanya ‘orang-orang kita’. Namun, jika direnung ke langit lagi, adakah tepat jawapan itu. Adakah langit yang luas itu setuju dengan hamburan suara itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan