Selasa, September 22

APA YANG ADA DI FIKIRAN KITA BILA BERCERITA TENTANG SEPASANG SELIPAR



Selipar. Teringat masa kecik-kecik dulu ada tajuk karangan yang cikgu minta tulis, Aku sebatang pensel, Aku sebiji bola, Aku sebuah pasu bunga dan macam-macam lagi. Bila timbul isu selipar, inilah antara yang timbul di benak yang harap-harapnya tak jadi benak. Rasa macam nak tulis karangan "aku sepasang selipar". Tapi coretan ini tidak ada kena mengenanya dengan ehwal semasa yang berlaku. Hanya sekadar suka-suka memandang dari sudut yang tersorok berkenaan selipar yang mahu dikalungkan.

Mulia
Jelasnya selipar dipandang hina dalam isu yang timbul baru-baru ini. Apalah salahnya selipar itu sehingga di pandang hina sedemikian rupa. Kasihan selipar. "Tidak ku pinta lahir ke dunia, tidak ku pinta jadi selipar..." nyanyian isi hati selipar kalau punya hati dan perasaan. Walaupun selipar letaknya di kaki, tempat yang paling bawah. Dipijak-dipijak menjamah bumi. Hakikatnya, selipar banyak berbakti. Tanpa selipar, kaki manusia yang terpijak najis, akan terkenalah pada kulit. Tanpa selipar, kulit-kulit kaki yang tebal akan sakit juga bila berjalan di batu-batuan tajam. Selipar juga berguna, buat mengalas kaki dilantai tandas yang penuh pepak dengan kotoran baik tampak mahupun seni. Pendek kata, selipar layak dapat pingat bakti. Kalau tidak ada yang sudi menjadi selipar, dunia jadi tidak sempurna. Habislah kaki-kaki sebuana dicemari. Kecacinganlah nanti manusia-manusia yang menapak dibumi tanpa selipar. Gelilah segenap kaki-kaki menjejak dasar bilik air lagi-lagi yang tidak dicuci. Justeru, janganlah dihina selipar kerana letaknya di kaki. Setiap yang ada punya fungsi diri. Nampak hina, tapi mulia.

Hina
Atas kemuliaannya, alangkah indahnya selipar jika dikalungkan. Tentu selipar gembira tidak terkata. Mendapat tempat di hati insan sehingga mahu diambil menjadi hiasan. Namun, itu sangkaan sahaja. Mungkin selipar pun tidak setuju dipandang sebagai kalungan. Kemuliaan selipar bertukar hina bila digelonggangkan. Biarlah selipar, menjadi alas selama-lamanya. Kerana selipar tahu akan fungsinya. Lari fungsi bermakna, hina. Tak berguna. Di maki hamun nanti. Begitulah adanya. Melanggar fitrah kejadian namanya. Selipar yang dikalungkan ke badan manusia itu merosakkan. Rosakkan pemandangan dan hancurkan konsep kejadian. Tidak adil istilah selipar yang mahu dikalungkan itu. Zalim. Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tegakkan keadilan kepada semua. Perjuangkan nasib selipar. Hidup Selipar! Hidup Selipar!

Adil
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (Annisa'(4):58)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan