Rabu, Mei 6

SATU KESILAPAN KITA AKAN MERUNTUHKAN 100 TINGKAT KEBAIKAN YANG KITA BINA



Satu perkara yang saya percaya dan sentiasa percaya,
setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah atau kebaikan yang tidak dapat kita lihat. Dan jika sesuatu perkara itu tidak dapat kita rasai, itu tidak bermakna sesuatu perkara itu tidak wujud.
Segalanya adalah terpulang kepada individu untuk menilai yang terbaik, dan melihat dengan mata hati, dan bukan terlalu
cepat melakukan justifikasi yang terlalu mengikut emosi.
Begitulah yang terjadi kepada sahabat saya, semalam beliau menemui saya untuk meluahkan perasaan yang terpedam. Sebenarnya beliau merasa amat kecewa dan marah apabila setiap pengorbanan beliau terhadap syarikat dan pekerjaannya tidak dihargai.
Sebagai seorang sahabat, saya hanya mampu mendengar dan saya cuba sedaya upaya untuk mendengarnya tanpa melibatkan emosi, kerana saya menyedari sahabat saya itu sudah jauh dikuasai emosi.
Jadi saya tidak boleh membiarkan diri saya terpengaruh sama dibawa oleh arus emosi tersebut.
Sebenarnya sahabat saya itu boleh dianggap sebagai seorang pekerja yang hebat, dedikasi dan loyal.
Beliau sanggup mengorbankan segala masa dan tenaga demi organisasi dan pekerjaannya. Tetapi disebabkan oleh kesilapan yang dilakukan oleh majikan terhadap beliau semalam, saya melihat segalanya berubah.
Namun begitu, apa yang saya lakukan semalam, ialah menyuruh beliau meletakkan dirinya sebagai seorang majikan. Seorang majikan yang mempunyai beratus orang pekerja. Satu soalan yang saya tanya kepada sahabat saya. Adakah sahabat saya akan menjadi seorang majikan yag tidak pernah
melakukan kesilapan?. Sahabat saya hanya diam.
Apa yang saya katakan kepada beliau, setiap manusia
tidak pernah lari daripada kesilapan. Sekali majikan kita melakukan kesilapan, bukan bermakna kita
perlu melupakan segala jasa baik yang telah diberikan oleh majikan kepada kita. Jangan disebabkan oleh satu
kesilapan, kita perlu melupakan berpuluh atau malahan beratus kebaikan yang diberikan oleh majikan kepada kita
selama ini.
Sentiasalah hidup dalam prinsip masa kini. Jadikan segala sesuatu yang pernah berlaku itu sebagai satu sejarah.
Jadikanlah hari ini umpama hari pertama kita memulakan kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan