Rabu, Mei 6

ADAKAH KITA DARI BENIH YANG BERKUALITI?





Ada satu cerita utuk dikongsikan bersama anda. Ada seorang penabur benih yang merantau sambil membawa sekarung benih. Sepanjang perjalanannya, sebahagian benih jatuh di tepi jalan, setelah beberapa waktu, datanglah seekor burung dan memakannya.
Sebahagian lagi jatuh di tanah yang berbatu, yang tidak banyak tanahnya, dan benih itu pun segera tumbuh, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana tanahnya kurang, maka akarnya pendek, Maka ianya menjadi pendek dan layu.
Sebahagian lagi jatuh di dalam semak yang berduri, lalu semasa pertumbuhan benih tersebut, ia terhimpit oleh semak belukar, sehingga ia tidak berbuah.
Dan sebahagian lainnya jatuh di tanah yang subur, ia tumbuh dengan subur dan banyak buahnya.
Hidup manusia pun boleh diumpamakan seperti benih di atas. Mereka yang hidup tanpa mengetahui potensi diri mereka boleh diumpamakan seperti benih yang pertama. Mereka sama sekali tidak menghasilkan apa-apa kejayaan dalam sepanjang kehidupannya.
Mereka yang mampu mencipta kejayaan dengan cepat dan pesat, namun akarnya(kehidupannnya) sangat rapuh dan kering.Boleh disamakan seperti kumpulan benih yang kedua. Mereka adalah golongan yang bekerja keras tanpa memikirkan kualiti kesihatan, mental ,fizikal dan sosial. Golongan ini mempunyai kualiti kehidupan yang kurang baik, kurang kebahagiaan ,dan keharmonian keluarga .
Seperti benih ketiga, walaupun mereka mempunyai akar kuat dan mampu tumbuh tinggi, tetapi mereka tidak berbuah. Orang-orang seperti ini hanya hidup untuk dirinya sendiri, dan sesungguhnya mereka tidak memberikan ‘nilai’ atau faedah kepada lain. Orang ini hidup hanya sekadar mengejar kejayaan peribadi tanpa memikirkan orang sekelilingnya. Jadi boleh diandaikan golongan ini tidak dapat menghasilkan ‘buah’ kepada orang lain.
Manakal golongan seperti benih keempat di mana mereka mempunyai tanah yang subur dengan mineral yang cukup, di mana akhirnya potensi dari benih tersebut dapat dihasilkan secara maksima dan juga memberikan faedah kepada orang lain. Mereka adalah golongan yang menjaga keseimbangan di antara seluruh aspek hidup mereka, kerana selain menghasilkanbuah dengan baik,mereka juga memiliki akar yang kuat.
Benih yang manakah menggambarkan kehidupan anda? Adakah hidup anda seperti benih yang pertama, yang hidup dengan sia-sia tanpa menghasilkan apa -apa? Atau seperti benih kedua, yang dibutakan oleh harta semata-mata tanpa mempedulikan kebahagiaan dan kesihatan diri anda? Dan akhirnya anda akan merasa kehidupan anda sia-sia?
Atau seperti benih ketiga, yang hanya ego dan mementingkan diri, tetapi tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat ? .
Kita amat berbeza sekiranya dibandingkan dengan benih, kerana kita mempunyai kekuatan dan daya untuk menentukan dimanakah tanah yang ingin kita diami. Jika ketika ini kita berada di tanah yang salah, kita masih mempunyai kemampuan untuk berpindah . Tidak seperti benih yang hanya pasrah, kita masih mempunyai ‘kaki’, fikiran, dan hati untuk meninggalkan tanah yang lama dan menuju tanah subur impian benih tersebut.
Jika kita merasa belum berada di tanah subur, maka jangan buang waktu lagi, carilah tanah tersebut. Tanamkanlah akar dengan kuat, tumbuhkanlah batang pokok kita dengan tinggi, dan yang paling penting, hasilkanlah buah yang manis untuk orang lain.
Kerana dengan cara inilah, dapat menghasilkan potensi yang maksima dari dalam diri. Benih yang berjaya menanamkan akar yang kuat, dan batang yang menjulang tinggi, tapi tidak menghasilkan buah juga tidak berguna, kerana Ia akan ditebang dan dibuang, dan akan digantikan dengan pohon yang lain yang dapat memberikan hasil yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan