Sabtu, Januari 16

Putus cinta – undang trauma?


Indahnya cinta tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bak kata orang, `bagaikan dunia aku yang punya’.

Memilikinya menyebabkan manusia menjadi separuh gila sehingga sanggup melakukan apa sahaja walau yang tidak sepatutnya.

Namun, pasangan yang sudah berkahwin lagikan bercerai, apatah lagi bagi mereka yang sedang bercinta.

Hanya orang yang pernah putus cinta sahaja tahu betapa sakitnya hati yang terluka dan kecewa seolah-olah langit runtuh menimpa.

Namun, berbaloikah untuk bermurung berbulan-bulan, terlibat dengan gejala-gejala negatif sehingga ke tahap membunuh diri hanya kerana ditinggalkan kekasih hati.

Wartawan meja Keluarga, HAFIDAH IBRAHIM dan NOOR AZMAH IBRAHIM menyingkap kisah dan persoalan dalam putus cinta undang trauma.

Kes 1
NALURI manusia sama sahaja. Semua ingin bercinta dan dicintai. Perasaan ini wujud dalam setiap jiwa, membuatkan hidup lebih indah dan bahagia.

Bertuah pasangan yang berjaya menikmati cinta sejati apatah lagi mencapai impian kala percintaan berakhir di gerbang perkahwinan.

Namun, bagi pasangan yang kecundang di tengah jalan apabila kasih yang dipupuk layu terkulai lantaran begitu banyak halangan – pasti terpaksa menelan kekecewaan.

“Kecewa? Hanya insan yang pernah mengalaminya sahaja tahu betapa peritnya pengalaman putus cinta. Ia mengundang seribu duka dan hanya air mata sahaja yang menjadi teman setia,” ujar Suriani Daharin.

Menceritakan pengalamannya, gadis berusia 22 tahun ini berkata, dalam keadaan hati robek berdarah, mencari penawar bukannya mudah.

“Saya pernah mahu menamatkan hayat kala putus cinta. Apa yang saya bayangkan waktu itu, biarlah saya mati bersama cinta saya yang telah terkubur,” akuinya jujur.

Menceritakan pengalamannya, kata Suriani, dia mula mengenal cinta pada usia yang terlalu muda iaitu waktu usia sementah 16 tahun.

“Bertahun-tahun menyemai cinta, apabila hasrat tidak kesampaian, pedihnya terlalu dalam. Saya terpaksa mengharungi beberapa tahun derita dan hingga kini masih tidak dapat melupakan,” ceritanya.

Akur Suriani ikhlas, kesan kegagalan perhubungan membuatkannya seolah-olah tenggelam punca dan terkapai-kapai sendirian.

“Apakan tidak, dia cinta pertama saya dan dialah insan pertama yang mengajar saya tentang cinta, mencintai dan dicintai,” jelasnya.

Bertugas sebagai perunding kecantikan, Suriani akui, kekecewaan yang sarat ditanggung pernah membuatkannya cuba mengambil pil tidur dan pernah sekali terjadi dia hampir hilang nyawa.

“Menelan pil tidur…hanya itu cara yang paling mudah untuk saya melupakan dia. Saya alpa kala itu, rupanya saya hampir memusnahkan diri sendiri,” katanya.

Mujurlah Suriani tidak keseorangan menanggung kekecewaan. Kasih ibu, ayah dan adik-beradik sentiasa menemaninya waktu menghadapi kekecewaan.

“Sampai suatu saat, akhirnya saya tersedar dengan hakikat bahawa memusnahkan diri kerana cinta bukan kesudahannya,” katanya.

Sebaliknya, kata Suriani, dia cuba mencari hikmah di sebalik kekecewaan yang perit ditanggungnya selama ini.

Suriani menegaskan, kini dia tidak pernah terkilan kehilangan cinta. Meskipun bersendirian, Suriani tidak pernah berasa terpinggir kerana dia masih memiliki kasih sayang keluarga yang tidak pernah membiarkannya melayari kekecewaan bersendirian.

“Suatu hal yang pasti, saya amat bersyukur kerana Allah masih mengasihi saya dan paling saya terharu, punya ayah, ibu dan adik-beradik yang amat mengambil berat tentang diri saya,” katanya.

“Memang sedih mengenangkan perjalanan pencarian cinta saya tetapi saya sedar bahawa saya perlu bangkit daripada kekecewaan semalam untuk meneruskan kehidupan bersama dua permata hati saya.

“Tewas dalam perjuangan cinta bukanlah falsafah hidup saya dan saya pun tidak pernah berkata serik untuk menikmatinya sekali lagi,” tegasnya sambil menambah buat apa dikenang kesedihan lalu yang hanya menambah luka di hati.

Sambil merenung jauh, wanita berusia 28 tahun ini berkata, anak-anak adalah semangatnya untuk meneruskan hidup dan tanpa mereka entah apalah agaknya akan menimpa hidupnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan