Khamis, Januari 28

PERNAH KE KITA BUAT SOAL SELIDIK APA PENDAPAT MURID-MURID TENTANG "KITA"





Diam tak diam, kelip mata hari demi hari. Tinggal beberapa hari je kita nak masuk ke bulan Feruari 2010. Banyak benar urusan kerja perlu diuruskan. Sungguhpun agak lega, namun saban tahun bercampur perasaan sebak, sedih dan terharu.

Mengapa?, kerana saban tahun setiap anak-anak aku yang di tahun 6 akan melangkah pergi, dan wajah-wajah yang sentiasa aku lihat, akan hilang dan lenyap bersama alam keremajaan dan kedewasaan.

Ia persis melepaskan anak kandung sendiri, melangkah mencipta dunia kehidupan baru. Setelah penat lelah mengasuh dan mendidik, aku tahu dan sedar anak-anak aku akan pasti melihat dengan dunia dan persepsi yang berbeda.

Kelmarin, aku meminta mereka menulis sesuatu yang tulus daripada hati mereka. Aku pinta mereka menulis lima kebaikan atau kekuatan aku sebagai guru mereka, dan aku juga meminta mereka menulis lima kelemahan dan kekurangan aku sebagai seorang cikgu. Aku juga meminta mereka tidak menuliskan nama mereka. Maka, tulislah kamu daripada isi hati kamu.

" Cikgu tak kan marah, dan cikgu takkan tahu daripada siapa yang menulisnya "

Mengambil kertas kosong, dan sebatang pensil lalu cuba menulis. Inilah kali pertama aku melihat mereka begitu sukar untuk mengilhamkan dan meluahkan isi hati mereka. Setelah lama menunggu, aku pun membacanya satu persatu. Maka, inilah keputusannya

Kebaikan/Kekuatan
Cikgu suka belanja
Cikgu suka senyum
Cikgu suka memberikan motivasi
Cikgu seorang yang pemurah
Cikgu mengajar kami dengan bagus
Cikgu sayangkan kami
Cikgu selalu datang awal ke sekolah
Cikgu selalu mengajar hal-hal yang baik
Cikgu suka buat lawak jenaka
Cikgu lain daripada cikgu yang saya kenal
Cikgu pernah menolong saya ketika saya sakit
Cikgu selalu berikan gula2
Cikgu mengajar dengan cara yang betul
Cikgu sangat menyayangi anak-anak muridnya

Itulah antara isi-isi yang ditulis berkenaan hal-hal yang mereka katakan tentang kekuatan diri aku sebagai seorang cikgu. Banyak hal yang mengejutkan aku terutamanya, anak-anak aku memang menyedari tentang kehadiran awal aku ke sekolah pada setiap jam 7.00 pagi setiap hari. Membaca catatan ini menyebabkan aku sebak dan terharu seketika, kerana mereka jujur dalam dan paling penting "they see me".

Baiklah, sekarang mari kita lihat apakah pula yang mereka tuliskan kelemahan/kekurangan aku sebagai seorang cikgu.

Kelemahan/Kekurangan

Cikgu slalu xmasuk kelas bile sibuk ngan budak tahun 6
Cikgu pernah cubit bila saya xsiap keje umah
Cikgu garang
Suara cikgu kuat dan lantang
Cikgu mesti kacak lagi
Cikgu tegas sangat
Cikgu seorang yang garang
Cikgu seorang yang tegas, garang
Cikgu tak de kelemahan
Sebenarnya cikgu tak sanggup marah dan garang, tapi terpaksa kerana mahu mengubah kami
Walaupun cikgu garang, saya sukakan cikgu sebab cikgu juga suka buat lawak
Cikgu tiada kelemahan lagi

Tatkala membaca catatan ini pula, aku mcm pun menitiskan air mata. Tidak tertahan rasanya. Terutamanya pabila membaca tulisan ini

" Sebenarnya cikgu tak sanggup jadi marah dan garang, tapi terpaksa kerana mahu mengubah kami "

Sebetulnya, aku memang sudah maklum perihal karakter aku sebagai guru yang mudah mesra ngan bebudak tapi bile time mengajo aku jadi serius dan tegas. Tetapi, aku maklumi juga, mereka juga arif bahawa garang dan tegas aku itu adalah hanya gaya mengajar, namun aku tahu mereka juga tahu aku seorang yang mengambil berat dan menyayangi mereka.

Akhirnya aku menjawab satu persatu komen mereka di hadapan mereka, menerangkan mengapakah aku bertindak sedemikian

" Hah, kenapa cikgu cubit kamu? "
" Sebab cikgu sayangkan kamu. Cikgu sentuh diri kamu, supaya kamu tahu cikgu sayangkan kamu. Cikgu mahu kamu tahu semua tu sampai bila-bila. Cikgu sayangkan kamu. Kamu tahukan sebelum cikgu rotan kamu, cikgu akan beritahu kamu perlahan-perlahan,cikgu buat ni sebab cikgu sayangkan kamu, bukan? "

Semua mengangguk tanda setuju.
" Baiklah, cikgu ni tegas dan bukannya garang. Cikgu tidak suka perkataan garang. Sama juga seperti kamu. Kamu bukannya jahat. Jahat itu seperti mencuri, merompak. Kamu tu nakal. Sebab itu cikgu tidak pernah panggilkan kamu jahat. Cikgu hanya gunakan perkataan nakal sahaja. "

" Baiklah, cikgu nak tanya kamu ni, siapa yang ada adik lagi? "
Beberapa orang mengangkat tangan." Pernah tak kamu disuruh oleh mak atau ayah kamu, suruhkan jaga adik kamu?" Mereka mengangguk." Pernah tak mak kamu suruh tengokkan adik kamu. Contohnya, mandikan mereka? " Mereka mengangguk lagi.

" pernah tak kamu marahkan adik-adik kamu sebab tak ikut cakap kamu. Kamu rasa nak cubit je sebab geram sangat adik kamu degil tak mahu dengar cakap kamu? "
Mereka mengangguk. " tapi, kamu tahu kamu sayangkan adik kamu dan bukannya bencikan adik kamu kan, walaupun kamu marah-marah, bukan? "

Mereka mengangguk lagi. " Kalau macam tu, macam tu lah perasaan cikgu. Cikgu marah ke, cikgu garang ke, cikgu denda kamu ke, semuanya cikgu buat bukan sebab cikgu bencikan kamu. Cikgu buat untuk disiplinkan kamu. Dan,paling penting, sebab cikgu syaangkan kamu. "

" Nanti, apabila dah dewasa dan matang, kamu akan ingat cakap dan nasihat cikgu ni "
Semua diam membisu. Ada yang sudah menitiskan air mata terutamanya murid perempuan.
" Cikgu ucapkan terima kasih sebab berikan komen-komen. Cikgu simpan sebagai kenangan dan juga panduan, supaya cikgu tahu cikgu ni, macam mana orangnya berdasarkan pendapat kamu "

Saban tahun, soal selidik inilah yang aku pinta daripada mereka (murid-murid tahun 6 pada awal-awal tahun persekolahan). Mungkin guru besar atau pengetua, atau masyarakat boleh menilai kredibiliti seorang guru tetapi pada akhirnya, hanya murid/pelajar sahaja yang boleh menilai seorang pendidik.

Ini satu cara muhasabah aku. Dan, tahun ini, catatan ini adalah favourite aku
" Sebenarnya cikgu tak sanggup marah dan garang, tapi terpaksa kerana mahu mengubah kami. Walaupun cikgu garang, saya sukakan cikgu sebab cikgu juga suka buat lawak "
Ia benar-benar menceritakan sikap aku. Bukan mudah menjadi cikgu tegas dan pandai berjenaka pada masa yang sama. I will take that as compliment.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan