Khamis, April 30

Kenali Bakat Anda?




Bakat, pada tafsiran adalah kebolehan Anda melakukan sesuatu dengan sangat baik, bagus sekali. Bakat juga dapat diertikan sebagai kemahiran yang paling banyak Anda kuasai lebih daripada orang lain di sekeliling Anda.
Jika Anda dah tahu apa bakat Anda, itu dah bagus. Tapi, bagaimana nak ketahui apa bakat Anda? Bagaimana jika bakat itu terpendam dan Anda masih tak nampak apa bakat Anda? Lakukan langkah-langkah di bawah…
1. Buat perkara yang tak pernah Anda buat sebelum ni. Kata orang, belum cuba belum tahu. Kata saya sebagai blogger Anda, selagi tak buat, selagi itu kita tak tahu! Jangan sekadar mencuba, buat saja!
Dengan itu, Anda akan cepat tahu di mana kelebihan Anda dan di mana kekurangan Anda. Kelebihan Anda, itulah bakat Anda yang sebenar.
2. Buat apa yang Anda paling minat. Sesetengah orang boleh buat 3 perkara dalam 1 masa. Ada orang minat komputer, dalam masa yang sama minat menulis, meminati sukan lasak dan minat memasak.
Untuk tahu di mana bakat Anda, kenal pasti mana satu kemahiran yang paling Anda minat lebih dari kemahiran-kemahiran lain. Bila dah ada minat, anda akan rasa seronok menambah pengetahuan mengenainya.
3. Tanya kawan atau ahli keluarga. Orang lain dapat lihat apa yang Anda tak nampak. Tanya ahli keluarga, ibu bapa atau kawan rapat apa yang mereka lihat menjadi bakat Anda.
Tanya mereka apa yang menjadi kelebihan Anda pada penilaian mereka. Sebaiknya, tanya ibu dan bapa sebab mereka memahami diri Anda dari kecil.
4. Doa pada Yang Maha Esa supaya tunjukkan pada Anda apa bakat Anda. Bagi pembaca iMotivasi beragama Islam, sebaik-baik pertanyaan adalah pertanyaan yang diajukan pada Yang Maha Esa.
Panjatkan doa, minta agar ditunjukkan apa bakat Anda, kebolehan Anda dan kelebihan Anda. Selagi Anda masih tak puas hati, selagi itu teruskan berdoa. Jangan berhenti selagi jawapan tak muncul!
5. Tanya diri sendiri apa bakat Anda. Mulakan dengan soalan “apa bakat aku?”. Tanya dan terus tanya sehingga Anda bertemu dengan situasi, perkara atau benda yang menjadi jawapan pada soalan Anda.
Teknik kedua, tanya diri dengan soalan “dengan cara apa aku boleh tahu apa bakat aku?” atau “apa yang mungkin boleh aku boleh gunakan untuk mengetahui apa bakat aku?”.
Bila Anda dah bertanya sebanyak mungkin, sekerap mungkin, minda Anda akan berusaha mencari jawapannya. Apa yang minda Anda fokuskan, itulah yang akan ditarik olehnya supaya datang pada Anda lalu muncul di depan mata Anda.
Untuk mengetahui apa bakat Anda, teruskan bertanya soalan sehingga Anda benar-benar pasti jawapan yang muncul di antara beberapa jawapan menjadi petanda itulah bakat Anda yang sebenarnya. Tanya dan terus tanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan