Khamis, Februari 4

MENCARI KEKUATAN DIRI- KELUAR DARI KEPOMPONG

Seekor ulat beluncas. Setelah sampai kitaran hidupnya, maka bertukarlah ia kepada kepompong. Di dalam kepompong itu, dia berfikir akan bagaimanakah rupanya selepas keluar kelak. Dia berfikir akan bagaimanakah dia akan makan kelak. Dia berfikir bagaimanakah dia bakal menjadi yang paling cantik di muka bumi kelak.

Setelah ia bertukar menjadi rama-rama, maka rama-rama itu keluarlah melihat dunia. Terkejut dia. Terkejut melihat dunia yang ada merak, enggang dan gapi yang cantik-cantik juga. Dia belajar untuk menjaga kecantikan dari mereka yang masing-masing berbeza spesisnya. Dia juga belajar cara makan yang betul, cara makan ikut adat seekor rama-rama, yang diajar oleh rama-rama lain. “Ini cara kita makan. Peliharalah untuk memperlihatkan keluhuran identiti kita,” ujar rama-rama yang lebih ‘senior’ itu. Dia juga belajar banyak benda dari spesis lain dan spesisnya sendiri.

Akhirnya dengan pembelajaran-pembelajaran itu, dia mampu memperolehi banyak manfaat dan hubungannya dengan spesis lain.

Ringkas sahaja cerita saya yang ala tabika sebentar tadi.

Namun apa yang saya hendak maksudkan, kita perlulah keuar dari kepompong sendiri, melihat dunia dan mempelajari tentang banyak benda dari pelbagai ‘spesis’ yang ada.

Kita lihat rama-rama tadi. Dia boleh belajar adatnya dengan rama-rama yang sama spesis dan sama habitat dengannya. Dia boleh belajar banyak perkara daripada rama-rama yang asalnya daripada habitat lain.

Dia boleh belajar sesuatu daripada spesis lain, termasuklah belajar untuk berhati-hati dengan spesis tertentu yang bersifat pemangsa rama-rama secara semulajadinya.

Andai kata kita hanya terperap dalam linkungan hubungan yang sama sahaja, maka kita tidak akan ke mana. Kita tidak akan dapat lihat keindahan dan ilmu lain yang boleh kita perolehi daripada saudara-saudara kita dari negeri lain mahupun kaum yang lain.

Kita sepatutnya mengelakkan diri dari terlibat dalam situasi obses kenegerian mahupun obses perkauman itu sendiri.

Apabila kita gagal melihat kebaikan orang yang berbeza asal dengan kita, maka kita akan merasakan bahawa diri kitalah yang paling hebat. Yang paling betul. Yang paling baik. Maka kita sebenarnya sudah salah. Kita sudah jadi katak di bawah tempurung, ulat di bawah daun.

Memang fitrah manusia untuk manusia rapat dengan rakan serumpunnya. Itu tidak dapat dinafikan. Ada juga golongan yang sering meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka yang sama rumpun atau dekat rumpunnya, namun mereka juga masih mampu untuk menyesuaikan diri dari golongan yang lain rumpun,asal atau kaumnya.

Yang menyedihkan apabila ada yang OBSES dengan rumpun, asal atau kaum sendiri.



Seekor rama-rama Monarch mungkin berbeza habitat dan sedikit tabiat berbanding rama-rama Geitoneura klugii. Namun, andai kata rama-rama tersebut mampu berfikir dan mempunyai akal seperti manusia, sudah pasti mereka boleh belajar banyak mengenai kaum mereka yakni kaum rama-rama. Namun perbezaan habitat itu sendiri mampu memberikan pendedahan baru akan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang selama ini mereka tidak ketahui.


Seperti kita, andai kata kita obses dengan negeri masing-masing dan sangat mudah menolak kebaikan dan adat serta perilaku amalan orang di negeri lain, maka sudah tentu taraf kita hanya bodoh sombong dan tidak benar-benar cintakan ilmu. Perbezaan sesama kita adalah sesuatu yang boleh kita pelajari mengenainya. Dengan kepelbagaian sebegitu, barulah hidup kita benar-benar bewarna-warni, tidaklah hanya pada satu tona warna sahaja.

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)


Di dalam Islam, menyanjung kaum adalah harus namun janganlah sehingga ke tahap Assobiyah. Yang dimaksudkan dengan Assobiyah itu adalah terlalu obses kepada rumpun (kaum atau asal) sendiri sehinggakan sanggup membelakangkan kaum atau pihak dari tempat asal yang lain.


Tuhan menciptakan manusia berbeza-beza, berkaum-kaum dan berpuak-puak. Ini disebabkan setiap kaum ada kelebihan masing-masing. Buktinya? Lihat sahajalah di sekeliling anda. Jika anda gagal mengetahui kelebihan masyarakat lain, maka anda masih belum cukup mengenali bangsa lain.




Ya, sudah fitrah untuk kita rapat dengan orang yang serumpun dengan kita mungkin disebabkan faktor keselesaan berkomunikasi dan sebagainya. Namun, kita juga tidak boleh menolak bangsa atau puak lain hanya semata-mata perbezaan yang ada. Jika itu berlaku, maka kita sepatutnya kaji kembali ayat suci Al-Quran yang dinyatakan di atas.


Sekolah 1 Aliran

Sedih saya melihat tragedi yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini, tragedi yang melibatkan pembinaan kuil Hindu di salah satu seksyen di situ.
Berlaku perbalahan sewaktu perbincangan diadakan di mana kaum-kaum yang bermesyuarat di situ menyalahkan antara satu sama lain. Bagi saya, sebabnya hanya ada satu. Mereka gagal mengenali antara satu sama lain, maka berlakukah insiden memijak kepala lembu, mengungkit-ungkit ritual sembahyang agama masing-masing dan sebagainya.


Bagi saya, salah satu langkah yang mampu memberikan kesan positif ke arah pemahaman sesama kaum adalah melalui penubuhan sekolah 1 aliran.
Sebuah konsep sekolah yang difokuskan untuk mempunyai pelajar yang berbilang kaum, tanpa wujud jenis kebangsaan.





Saya adalah bekas pelajar High School Bukit Mertajam. Di situ, para pelajarnya adalah bercampur-campur kaumnya. Ada Melayu, Cina, India, Sikh dan juga kacukan India-Melayu, Cina-India. Sewaktu saya bersekolah di SMK Sultan Ahmad Shah Cameron Highlands pula, pola kaum pelajar juga hampir sama. Juga, ada rakan yang kaumnya Melayu-Cina, dan sebagainya.


Situasi sebeginilah yang membuatkan kami hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kami sama-sama berhenti bermain apabila azan dikumandangkan.

Kami sama-sama menunggu sebentar rakan beragama Buddha apabila dia melakukan satu ritual keagamaan semasa kami melalui di hadapan satu bendera segi 3 yang ditulis di
atasnya tulisan Cina.

Kami tidak mengadakan aktiviti sewaktu Ahad pagi sebagai hormat mereka yang ke gereja.

Kami tidak akan masak daging lembu apabila ada penganut Hindu ke rumah kami.

Kami makan bersama, main bersama, ketawa bersama, sedih bersama.



Jika kita hendak melihat bukti ayat Al-Quran yang dinyatakan di atas, cubalah kita lihat di sekeliling kita. Lihatlah.

Lihatlah pencapaian mereka yang ibu bapanya berasal dari keturunan berbeza dengan mereka yang keturunannya hampir. Pengamatan saya sering memperlihatkan bahawa anak-anak kacukan kaum dan kacukan rumpun yang jauh ini selalunya akan lebih cemerlang dalam pelajaran.
Maaf, bukan bagi saya untuk memperkecilkan sesiapa dan bukan maksud saya untuk mengatakan mereka yang berkahwin dalam rumpun yang hampir itu tidak berjaya anak-anaknya.

Namun ajaran agama sendiri sebenarnya boleh dibuktikan melalui aktiviti seharian kita. Agama sendiri tidak menggalakkan kahwin sesama sepupu kerana rumpun perkahwinan yang akan terjadi itu terlalu ‘dekat’.
Selain sillaturrahim dapat diperluaskan, kita juga turut mendapat banyak manfaat apabila kita berusaha keluar dari kepompong.


Ya, jodoh itu tidak ke mana. Namun usaha itu perlu ada dan ayat-ayat Al-Quran yang kita baca tidaklah hanya pada lidah, namun sama-samalah kita lakukan pada amalan kita.


Pembaca sekalian, hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum sebegitu adalah sungguh menyeronokkan. Bewarna-warni.


Kami saling memahami walaupun berbilang kaum. Kami saling menjalinkan keakraban persahabatan dan yang paling penting, kami mampu untuk mengamalkan Agama masing-masing serta mengetahui adat masing-masing.


Sekolah satu aliran adalah medium yang cukup kuat untuk melahirkan jiwa muhibah generasi muda. Proffesor Khoo Kay Kim juga turut menyatakan bahawa semangat perpaduan mampu diterapkan dengan baik melalui 1 aliran sekolah ini.


Andai kata kita takut kehilangan identiti, tidak mengapa. Ini disebabkan demokrasi dalam pendidikan itu sendiri sebenarnya membenarkan kita mengambil subjek-subjek bahasa ibunda mahupun sastera bahasa ibunda masing-masing untuk dipelajari. Kemampuan ada di tangan kita. Sama ada hendak atau tidak sahaja.





Seperti saya nyatakan di atas, saya dan rakan-rakan berbilang bangsa masih boleh memahami budaya masing-masing dan kami dapat hidup bersama tanpa menjejaskan kepercayaan agama kami dan adat budaya kami.

Kadang kala, saya sedih apabila mereka yang berada dalam kelompok sendiri itu sebenarnya yang lebih mudah goyah dan dipengaruh oleh budaya lain. Bukannya budaya mereka yang lebih kukuh apabila berada dalam kelompok sendiri.


Jauhilah obses perkauman.

Jauhilah obses kenegerian.



Ini kerana kita di bawah satu bumbung yang sama.


Kita di bawah rukun negara yang sama.



Meskipun berlainan ‘spesis’, saya harap tujuan kita semua masih berada di haluan yang sama.


Sekian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan