Isnin, Ogos 3

PUNCA KANAK-KANAK KERAP BERTANYA




Perlu maklumat, perkembangan minda punca kanak-kanak kerap bertanya
ANDA mungkin pernah berhadapan dengan situasi anak yang bertanya tanpa henti. Daripada satu soalan, dia akan bertanya soalan lain pula. Contoh, ibu kenapa mesti mandi? Kalau tak mandi jadi apa? Kenapa kucing tak mandi? Ibu mandi tak? Kadangkala, anda mungkin tergamam dengan pelbagai soalan yang diajukan anak anda itu.

Mengapa kanak-kanak bertanya banyak soalan?

Kanak-kanak dalam dunia dewasa seperti orang dewasa berada di negara asing. Mereka perlukan maklumat setiap hari, kadangkala pertanyaan itu sebenarnya menunjukkan mereka keliru. Soalan yang konsisten menunjukkan tahap perkembangan mindanya. Selalunya soalan yang ditanya selari dengan usia.

Pada usia dua tahun, kanak-kanak biasanya akan bertanya ‘ayah, itu apa?’. Jawapan anda akan menambahkan tata bahasanya.

Pada usia tiga tahun, otaknya sudah berkembang. Dia boleh bertanya ‘mengapa’. Misalnya, mengapa malam mesti gelap. Sedaya upaya sebagai ibu bapa, anda jawab soalan itu kerana jawapan anda akan membantu dia memahami apa yang dilihatnya.

Kanak-kanak empat tahun ke atas selalunya akan menyedari ada dunia di luar pengalamannya. Ketika itu, dia akan mula bertanya dan contohnya seperti soalan ini “Ibu bagaimana kapal terbang boleh terbang?”

Bagaimana jika anda tidak tahu jawapannya?

Kadangkala anak anda akan bertanya soalan yang sukar anda menjawabnya. Bukan kerana anda tidak tahu tetapi anda tidak tahu bagaimana memulakannya. Anda mungkin ada idea tetapi tidak pasti jawapan yang anda beri itu betul atau sebaliknya.

Jangan mengambil jalan mudah dengan berbohong kepada anak anda jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan yang dikemukakan. Jika anda tidak suka anak anda berbohong, anda harus memulakan dengan sikap anda sendiri.

Satu hari anak anda mungkin bertanya, “Ayah, bagaimana lampu boleh menyala?” Anda mungkin ada idea mengenai elektrik tetapi sukar untuk menjelaskannya. Anda mungkin akan berkata sains sebagai jawapannya. Mungkin anak anda akan berpuas hati, mungkin tidak. Jika dia masih ingin tahu, katakan dengan jujur sebenarnya anda pun tidak tahu. Bagaimanapun, berjanjilah untuk sama-sama mencari jawapan.

Misalnya, bawa anak anda ke zoo jika dia ingin tahu bagaimana bunyi suara gajah atau jika kebetulan anda ada abang yang bekerja dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), minta anak anda rujuk kepada bapa saudaranya itu.

Bagaimana kalau soalan itu sukar dijawab?

Apabila kanak-kanak makin membesar dia akan bertanya mengenai soalan membabitkan tubuh. Apatah lagi jika dia mempunyai adik berlainan jantina, selain mungkin dia pelik melihat wanita hamil.

Anak anda tiba-tiba bertanya anda “Di mana ibu beli adik?” Mungkin anda tergamam dan terfikir apakah jawapan paling ideal untuk diberikan kepada anak anda.

Sebenarnya anda boleh menjelaskan keadaan sebenar walau berapa usia anak anda. Bagaimanapun, jelaskan serba ringkas dan sesuai dengan usia. Mungkin anda boleh katakan secara ringkas, adik datang daripada perut ibu seperti dia. Jelaskan kepadanya ibu akan bercerita lagi apabila dia meningkat dewasa.

Bagaimana untuk membuat anak anda berhenti menyoal?

Soalan anak anda mungkin bertalu-talu atau bersambung-sambung. Daripada jawapan yang anda beri, anak anda akan membina soalan lain pula. Walaupun kita cuba bersabar, ada kalanya kesabaran itu boleh hilang.

Jangan cepat marah dan menyuruh anak anda meninggal anda. Mungkin anda boleh secara lembut memberitahunya, cukuplah setakat ini, soalan itu kita simpan esok. Anak biasanya akan cepat lupa.

Sebenarnya soalan bertalu begitu bermaksud dia memerlukan perhatian. Perhatikan, dia akan bertanya soalan begitu apabila anda sedang melakukan sesuatu. Justeru, berhenti dan beri sedikit tumpuan padanya atau anda boleh menyuruh dia membuat aktiviti sendiri, misalnya membina blok atau mewarna

Tiada ulasan:

Catat Ulasan