Ahad, Ogos 23

CINTA ITU MEMATIKAN ATAU MEMBERI NYAWA?

Aku tak tahu sama ada kalian pernah bercinta atau tidak. Aku pernah pernah dan masih menaruh harapan pada cinta..agar ianya terus subur dan sentiasa membuat aku bahagia dan rasional dalam membuat setiap keputusan dalam hidup... . Yang pasti kesan daripadanya ialah aku fikir bahawa cinta itu boleh ‘membunuh dan menghidupkan’.
Oh, tentu saja aku tidak memaksudkan cinta itu telah mengambil alih kerja Tuhan. Hanya yang mungkin, Tuhan mewakilkan cinta sebagai kecantikan hidup. Bila cakap soal cinta, ia banyak dirujuk kepada soal hati. Aku mahu memasukkan soal fikiran sama, tapi ada reservation untuk itu. Kadang-kadang kuasa cinta menjadikan manusia tidak rasional. Sebagai orang yang percaya dengan kepentingan sikap rasional, aku percaya cinta juga harus rasional dan tidak terlalu didorong emosi. Ah, tentu saja bosan sekali membina rasional dalam percintaan! Adakah akal akan selalu bertentang dengan hati?
Sebenarnya tidak sukar menemukan orang yang bersetuju dengan pentingnya nilai cinta. Tanya saja di mana-mana, manusia akan melihat nilai cinta sebagai sebuah nilai yang agung. Bagi mereka yang gagal melihatnya (mahu saja aku sebut loser!), cinta akan diseret kepada soal seks dan seumpamanya. Aduh, kenapa lekas sangat?
Hakikat bahawa di mana-mana tidak sukar menemukan ‘laskar’ cinta ini membenihkan persoalan di benak aku. Adakah manusia sudah tandus dengan kasih sayang?
Ya, sebenarnya jauh di sudut hati aku percaya nilai cinta tandus dalam masyarakat hari ini. Dari ketandusan ini muncul permusuhan. Dari ketandusan ini muncul kacau bilau dalam masyarakat. Yang berkuasa menindas dan menyalah guna kuasa. Yang tidak berkuasa memaki hamun yang berkuasa. Yang berpangkat memandang rendah yang tidak berpangkat, yang tidak berpangkat melihat yang berpangkat poyo lebih. Yang rajin berusaha dan berjaya, yang malas mengata-ngata. Yang miskin bersabung nyawa untuk hidup, yang kaya buat-buat tak nampak waktu sedap melantak.
Kerana cinta, Nabi Adam a.s. menurut kemahuan Hawa dengan mengambil dan memakan buah larangan di syurga, Kerana cinta, Nabi Nuh a.s. memanggil anak dan isterinya menaiki bahteranya. Kerana cinta Zulaika memfitnah Nabi Yusof a.s.. Kerana cinta Nabi Muhammad s.a.w. mengajak manusia kepada Tauhid dengan kesabaran dan kebijaksanaan, bukan menjerit bahawa manusia semua celaka dan akan ke neraka!
Kerana cinta Ernesto Che Guevara menyeru perjuangan rakyat tertindas. Kerana cinta Gandhi berjuang. Kerana cinta Jose Rizal ditembak.
Kerana cinta ada yang ‘mati’ dan ‘terus hidup’. Hidup – adakah ia bermula dari pusingan permusuhan? Tak bolehkah cinta selalu menafikan kebencian?
Yang pasti hidup ditakdirkan berbeza. Kata Tuhan ini untuk kita saling kenal dan mencintai, bukan saling membenci. Ah, cinta…meski murni pada maksudnya,realitinya tetap sukar dimurnikan!
Ketawa dan air mata ada dalam cinta. Dan cinta akan tetap jadi ‘mazhab’ terutama pada orang muda. Hanya saja sama ada cinta itu ‘mematikan’ atau ‘memberi nyawa’. Bergantung kepada persepsi dan diri masing….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan