Khamis, Julai 15

MENGUTUK ORANGL AIN DEMI KEPENTINGAN DIRI....KEJAYAAN PERIBADI?



Saya telah kongsikan pendapat saya mengenai keburukan bertutur dengan bahasa yang tidak sopan. Ini pula berkenaan bercakap buruk tentang orang lain dengan harapan orang lain akan nampak kita lebih baik.

Menceritakan tentang keburukan orang lain memang menyeronokkan. Tahu kenapa? Kerana dengan menceritakan tentang keburukan orang lain, kita akan rasa lebih baik daripada orang yang kita ceritakan itu. Kita rasa gembira kerana ada orang yang lebih teruk daripada kita. Tetapi kita perlu berhati-hati. Apa sahaja keburukan yang kita ceritakan tentang orang lain itu besar kemungkinan ada pada kita.

Saya pernah terbaca hasil tulisan ahli falsafah Ralph Waldo Emerson yang mengatakan, apa yang kita lihat pada orang lain adalah apa yang kita bawa dalam hati kita. Maksudnya, jika perkara buruk yang kita asyik nampak pada orang lain, perkara buruk juga lah sebenarnya yang memenuhi hati kita.Jadi, kalau kita asyik menceritakan tentang keburukan orang lain, bukankah secara tidak langsung kita memberitahu seluruh dunia bahawa hati kita penuh dengan perkara yang buruk, hodoh dan busuk?

Dalam masa yang sama, lihat orang yang berjaya sama ada pelajar, ahli perniagaan, guru, ahli sukan atau sesiapa saja, apa yang sering mereka perkatakan? Orang-orang yang berjaya sering bercakap tentang kejayaan, kegembiraan, kasih sayang, matlamat untuk berjaya dan sebagainya. Ini menggambarkan apa yang ada dalam hati mereka dan alhamdulillah saya percaya sebab itulah mereka berjaya.

Jadi, mulai hari ini, dalam usaha menuntut ilmu terutamanya, perbetulkan niat dan matlamat kita dan perbetulkan adab dan tatasusila kita dalam mengejar ilmu yang berkat. Penuhi hati kita dengan kasih dan sayang sesama kita dan insyallah itu yang akan kelihatan dengan jelas nanti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan