Khamis, Julai 15

KENAPA PERLU DIDIK ANAK-ANAK TANAMKAN RASA HORMAT PADA GURU.?



Ayah, kenapa nak kena hormat kat cikgu eh?” Tanya anak saya yang berumur 5 tahun.

Soalan itu kelihatan begitu mudah sekali untuk dijawab tetapi saya terpaksa berfikir seketika. Satu persoalan yang terpaksa saya fikirkan ialah, bagaimana mahu menerangkan kepentingan menghormati guru kepada kanak-kanak berusia 5 tahun? Fahamkah dia nanti?

Selepas seketika, saya pun bersuara, “Izzah, pernah tengok mama tuang air teh dari teko tak?” Jawab Izzah , “Pernah.”

“Bila mama tuang air teh, air keluar dari mana, teko ke cawan?” Tanya saya lagi. “Mesti la dari teko,” jawab Izzah.

“Antara teko dengan cawan, yang mana kedudukan dia lebih tinggi bila mama tuang teh?” soal saya. “Mesti la teko ayah. Teko kat atas, cawan kat bawah” Jawab Izzah sambil menggayakan kedudukan teko dan cawan menggunakan tangannya.

“Hmm… kalau cawan tu lebih tinggi dari teko, boleh tak teh tu masuk dalam cawan? Soal saya lagi. “Mana boleh ayah. Macam mana air teh nak jatuh ke atas pulak,” jawab Izzah tegas.

“Haa.. kalau Izzah nak tau, hubungan cikgu dengan murid macam tu jugak,” kata saya. “Macam mana?” Soal Izzah.

“Ilmu datang dari cikgu, macam air teh datang dari teko jugak. Murid menerima ilmu dari cikgu, macam cawan menerima teh dari teko,” balas saya.

“O, ye ke. Habis tu?” Soal Izzah lagi sambil mengerutkan keningnya.

“Kedudukan teko tu lagi tinggi dari cawan, macam kedudukan cikgu jugak, lebih tinggi dari murid. Kalau murid tak hormat cikgu, ia umpama murid tu nak tukar kedudukan, murid nak duduk kat atas pulak,” kata saya.

Izzah diam tidak memberikan komen apa-apa.

“Jadi, kalau murid tak hormat cikgu dan nak duduk kat atas, rasanya boleh tak murid tu dapat ilmu dari cikgu?” Soal saya sambil menggayakan kedudukan cikgu dengan murid menggunakan tangannya.

“Ilmu pun takleh mengalir ke atas eh?” Soal Izzah sambil tersengih.

“Ha, sebab tu la! Murid yang tidak menghormati cikgunya, nanti dia takkan dapat kuasai ilmu yang diturunkan oleh cikgunya,” balas saya.

“Habis tu, kalau tak hormat cikgu, nanti boleh jadi bodoh la eh?” Soal Izzah dengan nada bimbang.

“Mungkin jugak,” jawab saya dengan senyuman sinis.

(Perbualan tamat di situ)

Mungkin anda pernah berhadapan dengan situasi sebegini. Bukan sahaja kanak-kanak yang tertanya-tanya mengapa guru perlu dihormati, malah orang dewasa juga kadangkala masih keliru mengenai persoalan ini.

Mari kita berkongsi apa rasanya menjadi seorang guru yang tidak dihormati. Bayangkan anda mengajar dua orang murid (Jika anda masih pelajar, bayangkan anda mengajar seseorang yang lebih muda dari anda seperti adik atau anak saudara anda). Seorang murid sangat hormatkan anda, bertutur dengan sopan dan sentiasa cuba mengikut nasihat anda yang baik. Seorang murid lagi langsung tidak menghormati anda. Dia biadap, sombong dan melayan anda seperti melayan seorang kuli. Secara semulajadi, murid yang manakah anda akan berikan lebih tumpuan? Murid yang manakah anda akan usahakan supaya menjadi seorang yang berjaya? Mudah untuk menjawabnya bukan?

Saya menulis kisah ini bukanlah kerana saya seorang guru atau untuk berpihak kepada mana-mana guru. Tetapi, saya terkilan melihat segelintir pelajar yang tidak memahami kepentingan ini. Ada pelajar yang terlalu cerewet dan sering mempertikaikan kebolehan seseorang guru. Fikirkan, jika anda memandang rendah kepada seseorang guru, ini juga bermakna kedudukan anda jauh lebih rendah dari guru itu kerana anda sedang cuba mempelajari sesuatu darinya!

Kesimpulannya buat kali ini, renungilah kata-kata seorang tokoh cendiakawan dan pemikir Islam yang hebat bernama Al-Zarnuji:

“Tidak ada pelajar yang akan memperolehi pengetahuan atau mendapat faedah dari pengetahuan yang diperolehinya melainkan dia menghormati pengetahuan dan orang-orang yang mempunyai pengetahuan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan