Isnin, Julai 19

MASALAH UMPAMA GARAM, KEAZAMAN UMPAMA AIR




Kisah 1
Dalam perjalanan pulang dari pasaraya KINI, aku terdengar sembang Dr. Fadzilah Kamsah melalui radio kereta. Beliau melalui kajiannya mengatakan bahawa 95% kerisauan yang selalu difikirkan oleh kita sebenarnya tidak pernah berlaku. Segala masalah yang dijangkakan berlaku hakikatnya tidakpun berlaku. Oleh itu, kita hendaklah tidak terlalu memikirkan sesuatu yang belum berlaku. Buangkan segala kerisauan. Hancurkan segala keresahan.

Aku tertarik dengan kajian beliau tersebut. Malah aku sendiripun walaupun sentiasa cuba berfikiran positif tetapi sekali sekala masih tetap dilanda kerisauan tentang sesuatu. Risau jika apa yang telah dirancang tidak akan berjaya, risau akan kekuatan sebuah perhubungan yang terjalin, risau jika tutur bahasa telah mengguris hati seseorang, risau jika seseorang itu berkecil hati dan sebagainya.Okey, mulai sekarang aku akan cuba buangkan segala kerisauan. Aku tak nak lagi risaukan sesuatu yang belum berlaku. Apa yang penting, aku akan merancang dan melaksanakan sesuatu dengan cara dan gaya yang terbaik. Aku akan laksanakan termampu mungkin. Segala yang akan berlaku selepas itu bukan kemampuan aku untuk fikirkannya. Cuma penambahbaikan sahaja yang akan dan dapat aku lakukan untuk hari-hari yang mendatang.

Kisah 2
Sampai saja kat rumah, aku capai sebuah majalah. Majalah Solusi. Dalam majalah tersebut, aku terbaca satu artikel. Petikan artikel tersebut antaranya menyebut:

"Secubit garam akan memasinkan segelas air. Tetapi jika garam secubit itu diletakkan ke dalam sebuah teko, kemasinan garam akan berkurang. Jika garam yang sama kuantitinya itu dilarutkan pula dalam sebaldi atau sekolam air… masinnya tidak akan terasa langsung."

Begitulah perumpamaan perbandingan antara masalah dan keazaman menuju cita-cita. Masalah umpama garam, manakala keazaman umpama air. Semakin besar keazaman maka semakin mengecil masalah, seperti garam yang hilang kemasinannya apabila air bertambah.

p/s - Keazaman besar akan mengecilkan masalah yang sedang dihadapi. Sebab itu jika kita terlalu disusahkan bahkan dikalahkan oleh masalah-masalah kecil, itu petanda keazaman dan cita-cita kita masih kecil. Jika keazaman kecil, kita sebagaimanapun bijak, hebat dan kuat sekalipun tidak akan mampu ke mana-mana. Ya, takkan ke mana-mana ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan