Isnin, Julai 26

Marah itu umpama api di dapur hati.. Jangan terlalu nanti hangus, jangan tiada nanti dayus..



Setiap orang pasti ada rasa marah. Marah itu fitrah manusia yang dibekalkan Allah swt dalam setiap diri manusia. Cuma apakah marah itu akan membawa kepada kebaikan kalau kita dapat mengawalnya. Apakah ia membawa kepada kemusnahan kalau kita gagal mengawalnya.
Rupa-rupanya marah itu bukan untuk dihapus tetapi marah itu untuk diurus.
Bagaimana kita menguruskan kemarahan kita?
.
.
Marah itu adalah perasaan, sebab itu untuk berjaya dalam hidup ini, kita mestilah mencuba bersungguh-sungguh supaya perasaan bekerja untuk kita bukan kita bekerja untuk perasaan kita.
Ada kajian yang menunjukkan perasaan marah itu akan lebih memudaratkan dalam diri kita sendiri berbanding dengan orang yang kita marah. Sebab itu awas kalau kita terlalu marah-marah kita sebenarnya membakar diri kita sendiri. Kita akan lebih terbakar berbanding dengan orang yang kita marahkan.
.
.
Marah itu daripada api. Sifat tabie kemarahan itu ialah ia membakar dan panas. Dalam kajian sains, apabila sesuatu benda bersifat pepejal, cecair atau gas dipanaskan, molekul-molekul didalamnya akan berlaga sesama sendiri dan menjadi tidak stabil.
Begitulah juga dengan hati kita, ia menjadi tidak stabil semasa kita marah. Oleh sebab itu apabila marah ini berasal daripada api dan syaitan juga berasal daripada api, maka itu kita mudah dikuasai syaitan.
Jadi berhati-hatilah dalam mengawal kemarahan. Jangan kita terlalu nanti hangus, jangan tiada nanti kita menjadi dayus.
.
.
Mengapa Allah swt mengurniakan rasa marah ini didalam diri manusia. Rupa-rupanya marah itu juga satu anugerah daripada Allah kerana dengan adanya rasa marah, timbul dalam diri kita hendak memperjuangkan sesuatu.
Dalam Islam misalnya ada perkara-perkara yang sangat penting seperti agama, nyawa, harta, keturunan dan sebagainya. Kalau perkara-perkara ini diperkotak-katikkan dan diancam, kita mesti rasa marah.
Apabila agama Islam dihina, syariat diperkotak-katikkan dan umat Islam ditindas, marah kerana benar dan besar adalah marah yang terpuji.
.
.
Tapi sayangnya kita selalu marah pada perkara-perkara yang kecil dan remeh temeh. Kita akan menjadi marah bila diri kita dikritik atau dikata. Ini adalah marah yang dikeji.
Padahal menurut Imam Ghazali, salah satu cara kita melihat aib kita ialah dengan mendengar apa kata musuh kita. Seharusnya kita membuka pintu hati kita dan menilai kritikan atau kejian musuh kita.
Apakah benar ada pada diri kita. Kalaulah kritikan itu sesuatu yang benar, Alhamdulillah..hakikatnya Allah menegur kita melalui musuh kita.
Selagi kita ada ruang untuk menegur, selagi itulah kita ada ruang untuk memperbaiki diri kita.
.
.
Namun mungkin kita ada berhadapan dengan kritikan yang tidak benar atau tidak adil iaitu kritikan yang bukan membina tetapi meruntuh.
Maka anggaplah ia sebagai ujian. Sebenarnya orang itu hendak menguji kita.
.
.
Jadi marilah kita mengenalpasti kemarahan kita.
Apakah marah yang terpuji yang patut diteruskan atau marah yang dikeji yang bersifat peribadi lagi remeh temeh yang harus dihentikan dengan serta merta.
.
.
Mari kita tuluskan marah kita kerana Allah swt.

Mari kita luruskan marah kita berpandukan syariat yang dibenarkan oleh Allah.

Mari kita uruskan marah kita pada tahap dan kadar mengikut batas-batas akhlak Islamiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan