Isnin, Julai 19

Ketepikan rasa takut, kecapilah kehidupan dan masa depan ...


Aku tertarik dengan persoalan tentang perasaan takut.

Perasaan takut adalah perkara biasa pada sesiapapun. Ia lumrah. Ada yang takut gagal dalam pelajaran, gagal dalam bisnes, takut mengambil sesuatu keputusan, takut melukai dan dilukai. Malah kita juga takut kat peragut, takut kat mat rempit, takut harimau, takut lipas, takut hantu, takut gemuk, takut kurus (adake takut kurus?), takut terputus hubungan, takut kekasih, suami & isteri curang, takut berada di tempat tinggi, takut kemalangan dan macam-macam lagi jenis ketakutan.

Aku juga sama. Ada perasaan takut. Takut jatuh hati.., tak lama lagi aku akan berpindah tempat kerja...tempat baru, rakan baru, bos baru, semuanya baru.... haha...

Sebenarnya kita harus terima hakikat, apabila berdepan dengan ketakutan yang sebenarnya, kita memang takut. Jangan berpura-pura tidak takut kerana itu akan menjadikan kita lebih takut. Cuma apabila berdepan dengan ketakutan, jangan sekali-kali biarkan diri dibelenggu rasa takut yang terlampau amat. Jangan juga hanya berdiam diri, membisu membiarkan perasaan takut itu menguasai diri.

Aku tertarik dengan kajian pakar psikologi berkenaan perasaan takut. Menurut pakar: 60% daripada yang kita takuti adalah sekadar andaian, persepsi dan tanggapan yang tiada asasnya. 20% lagi adalah akibat daripada perkara atau peristiwa masa silam. 10% ketakutan adalah bersumberkan perkara yang remeh-temeh. Daripada 10% lagi, kajian mendapati hanya 4-5% sahaja yang benar-benar perlu ditakuti dan dihadapi.

Hasil kajian ‘ketakutan’ mendapati, umumnya manusia terbahagi kepada 3 golongan:

1. Orang yang lari dan menghindarkan diri

Golongan ini berusaha untuk lari daripada rasa takut. Mereka cuba mengelakkan daripada tempat, manusia, peristiwa dan keadaan yang boleh mendedahkan kepada rasa takut. Golongan ini bagi aku sebenarnya fobia. Seolah-olah ketakutan itu terlalu hampir dengan mereka bila berdepan dengan suatu perkara. Oleh itu mereka berusaha untuk lari daripada situasi yang mereka takutkan.

2. Orang yang pasrah dan mengalah
Golongan ini sekadar pasrah. Menyerah sahaja kepada rasa takut. Mereka membina harapan kosong, sekadar berharap ketakutan itu akan berlalu dan kehidupan akan kembali seperti biasa. Bagi aku, jika sekiranya sekadar menyerah kepada rasa takut, lama kelamaan dibimbangi ia mendarah daging dan menjadi kebiasaan dalam diri. Tiada sebarang tindakan. Tiada sebarang usaha. Akhirnya mereka ini tidak akan ke mana. Sekadar menunggu dan hampa.

3. Orang yang merenungi dan menganalisis sumber rasa takut
Menurut kajian pakar-pakar psikologi, kebanyakan rasa takut tidak mempunyai asas dan fakta yang jelas. Ia suatu yang diandaikan berlaku. Ia tidak berpijak kepada akal yang rasional sebaliknya ‘terawang-awang’. Dengan menganalisis sumber rasa takut, kita akan tahu kedudukan kita dalam menghadapi rasa takut ini. Jika kita takutkan perkara tidak berasas, itu bermakna kita biarkan diri kita memegang ‘bayang-bayang’. Kita mendera perasaan sendiri sebenarnya.

Oleh itu kita perlu bertindak, berhenti dan jauhkan diri dari bayang-bayang ini!. Jika ketakutan pada perkara-perkara lepas, bergeraklah ke hadapan. Yang lepas lepaslah.. ia tidak akan berubah lagi. Jika perkara yang remeh-temeh yang kita takutkan, adakah berbaloi untuk kita ingin terus menanggungnya? Adakah sanggup kita kalah dan rebah dibelenggu oleh ketakutan kecil ini?

Aku selalu dengar, besar atau kecilnya kejayaan dalam hidup ditentukan oleh besar atau kecilnya ketakutan yang selalu kita hadapi. Oleh itu, marilah kita untuk beri perhatian kepada perkara penting dan bermakna dalam hidup ini. Ketepikan rasa takut, kecapilah masa depan yang penuh harapan dan warna-warna indahnya.

Seperti yang pernah aku sentuhi dalam entri sebelum ini, Tuhan mendatangkan rasa kecewa bukannya untuk ditangisi. Begitu juga perasaan takut. Ia bukan saja-saja. Sebaliknya untuk kita renungi dan belajar daripadanya. Kan kita selalu dengar, semakin tinggi pokok yang dipanjat maka semakin kuat angin yang menggoyang dan semakin kuat angin yang menggoyang semakin takut kita untuk memanjat lebih tinggi. Tetapi kita harus memanjat kerana disanalah biasanya terdapat buah dan hasilnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan