Ahad, Mac 28

NIKMAT SABAR, SYUKUR & YAKIN

Sabar. aku berasa sangat yakin bahawa konsep sabar ini diajar dan dianjurkan oleh semua agama samawi dan juga apa jua bentuk kepercayaan. Kita diajak untuk bersabar dalam menempuh setiap keperitan dan dugaan hidup, juga bersabar dalam setiap musibah yang datang melanda. Namun yang sering berlaku adalah kita menjadi selalu tidak sabar apabila ujian tersebut benar-benar datang melanda hidup ini.

Apakah gunanya sabar? Sabar itu bukanlah sesuatu yang retorik, sabar itu sangat bermakna bila manusia betul-betul di uji. Bersabar bukan bermakna menyerah, tetapi mengambil satu langkah ke belakang untuk merancang langkah yang lebih panjang ke depan! Itulah gunanya sabar, kita akan mengetahui seperti apakah hati kita ketika ini. Malahan sabar itu bukan terhenti setakat itu sahaja, malah kita harus lebih banyak bersabar dalam menerima nikmat dan rahmat Tuhan Semesta Alam yang melimpah ruah itu. Kita malah hanya bersabar dalam menerima ujian dan keperitan hidup ini, tetapi kita jarang-jarang bersabar bila didatangi kesenangan dan kejayaan! Fikirkanlah….

Tuhan Yang Maha Kuasa menganugerahkan 3 ganjaran bagi orang-orang yang sabar :

* •Kesejahteraan di dunia & akhirat
* •Rahmat dan kasih sayang-Nya
* .Petunjuk dalam menghadapi berbagai kesulitan

Syukur. Seringkali sukar untuk mengungkapkan bicara syukur dalam hidup ini. Kita malah merasakan bahawa setiap rahmat dan kejayaan dan kesenangan yang datang itu sebagai sesuatu yang sememangnya layak untuk kita! I deserve it! Begitulah kata hati manusia. Tapi pernahkah kita bertanya kenapa Sang Pencipta memberikan rahmat dan kesenangan itu kepada kita ? Bukan kepada orang lain ? Nah! Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Hati menjadi tidak tenang dan bahagia kerana sering melihat apa yang tidak kita punyai. Kita sering mengimpikan sesuatu yang dimiliki orang lain, kebahagiaan yang dimiliki orang !

Bersyukurlah dengan melihat dan memahami penderitaan orang lain. Bersyukurlah dengan memperbanyak merenung jauh ke dalam diri dan bayangkanlah jikalau Tuhan Yang Maha Esa ini suatu hari nanti akan lari jauh tidak lagi memandang dan memperdulikan kita…………

Orang-orang yang selalu bersyukur akan sering merasakan kecukupan di dalam hidupnya. Mereka dijanjikan kecukupan rezekinya oleh Tuhan Yang Esa dan tidak lagi berkeluh kesah melihat kesenangan dan kejayaan orang lain.

Yakin. Ramai orang-orang yang telah berjaya di dunia ini memulai langkah pertama dengan penuh keyakinan. Walaupun kegagalan demi kegagalan yang mereka temui sepanjang perjalanan itu, tetapi akhirnya dengan keyakinan mereka yang jitu telah membuatkan mereka berjaya dan malah lebih berjaya dari orang lain. Begitulah hebatnya rasa sebuah keyakinan itu! Bagi manusia beragama, keyakinan bahawa akan adanya malaikat pencatit di kiri kanan kita, membuat kita betul-betul memanfaatkan apa jua yang ingin kita lakukan. Begitu juga dengan keyakinan akan adanya hari kita dibangkitkan semula untuk melihat neraca timbangan amal, akan membuatkan kita benar-benar takut akan siksaan akibat perbuatan jahat dan akhlak yang keji.

Orang-orang yang yakin memahami bahawa setiap amal perbuatan jikalau tidak dirringi dengan niat dan keihklasan yang baik, maka ia hanya akan menjadi amalan yang sia-sia dan menjadi sirna…….

Keyakinan bukan bermakna kitalah yang menentukan dan memastikan sesebuah kejayaan. Malah orang-orang yakin mempunyai pergantungan 100% kepada Yang Maha Kuasa setelah segala ikhtiar dan perancangan dilunaskan. Mereka inilah yang memami betapa segalanya yang berlaku di mukabumi ini tidak satu pun terlepas dari Genggaman dan Pengetahuan Yang Maha Esa.

Dengan mempertajam rasa SABAR, SYUKUR DAN YAKIN ini, hidup terasa lebih bermakna dan hati akan merasa lebih bahagia.

Kita sememangnya ditakdirkan untuk berbahagia dengan segala nikmat yang dianugerahkan Yang Maha kuasa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan